TUNAI HAJI JIKA BERKEMAMPUAN
Fahami kemampuan tunai haji
KHAMIS lalu kumpulan pertama jemaah haji musim 1440 Hijrah/2019 tanah air berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Jeddah, Arab Saudi untuk menunaikan rukun Islam kelima itu.
Antara syarat-syarat wajib haji ialah apabila seseorang itu berkemampuan seperti firman Allah:
“Dan menjadi kewajipan bagi manusia terhadap Allah untuk mengunjungi rumah itu (Baitullah) bagi yang sanggup (mampu) berjalan di antara mereka” (Ali Imran: 97).
Dalam hal ini, kemampuan atau berkuasa mengerjakan ibadah haji dan umrah terbahagi kepada dua bahagian.
Pertama berkuasa iaitu daripada aspek diri sendiri yang mampu untuk menyediakan keperluan berkaitan dan kedua kemampuan dengan bantuan orang lain.
Kemampuan dengan diri sendiri bermaksud seseorang itu mampu mengeluarkan belanja, tambang, perbelanjaan keseluruhan berkaitan daripada awal sehingga akhir individu tersebut balik ke tanah air.
Kedua, seseorang itu perlu mempunyai kemampuan untuk menyediakan bekalan atau perbelanjaan cukup bagi saraan orang di bawah tanggungannya.
Misalnya, seorang suami dikatakan berkemampuan apabila sepanjang pemergiannya menunaikan haji, kebajikan anak isterinya terbela serta terjaga dengan dicukupkan keperluan makan minum dan tempat perlindungan mereka
Pendek kata, mereka tidak perlu meminta-minta pada orang lain kerana segala-galanya mencukupi seperti kebiasaan.
Kemampuan ketiga meliputi mempunyai kenderaan atau kemudahan untuk bergerak pergi dan balik. Tidak kira menggunakan laluan laut, darat, udara dalam keadaan teratur.
Ia tidak bermakna apabila dikatakan kita mahu ke tanah suci, kita mampu berjalan kaki sahaja tetapi bekalan yang diperlukan tidak mencukupi.
Allah berfirman dalam surah al-Hajj ayat ke-27 yang bermaksud: “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki dan menunggang unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh.”
Begitupun, isu kewangan adalah antara masalah utama sesetengah umat Islam ke tanah suci.
Pada pandangan saya, ia bukan bermaksud, seseorang itu mempunyai kewangan mencukupi dia mempunyai peratusan tinggi menunaikan haji atau umrah kerana ia melibatkan soal rezeki dan jemputan Ilahi kepada hamba-Nya yang terpilih.
Kemampuan dari sudut keamanan dalam perjalanan juga perlu diambil kira. Maksudnya, perjalanan itu tiada ancaman berbahaya meliputi aspek harta, keselamatan diri di samping seseorang itu juga tiada penyakit yang memudaratkan tubuhnya.
Lantaran itu orang yang sihat juga termasuk dalam syarat kemampuan menunaikan ibadah haji atau umrah. Maksudnya, jika mereka berada keadaan uzur, perlu mengikuti rutin rawatan dialisis atau terlantar, mereka dikira tidak memenuhi syarat kemampuan seperti digariskan.
Seseorang itu juga gugur syarat kemampuan menunaikan haji ialah apabila individu tersebut mempunyai masalah penyakit termasuk yang tiada harapan sembuh hingga akhirnya dia meninggal dunia,
Namun, waris boleh menggunakan harta si mati yang belum menunaikan kewajipan itu dengan menggunakannya untuk ibadah haji badal kerana ketika dia masih hidup dia mempunyai kemampuan kewangan namun tidak berkesempatan berbuat demikian.
Selain itu, kemampuan daripada aspek masa turut diambil kira. Dalam hal ini, bakal jemaah, bukanlah mereka yang dibebankan dengan tuntutan tugas yang banyak atau mempunyai kekangan seperti tidak boleh meninggalkan kerja atau bercuti dalam satu tempoh mencukupi untuknya pergi menunaikan ibadah haji.