Bab Pengaturan Rezeki – Redho Dengan Qadho’ (Samb.)
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Redho dengan Qadho
2. Ketika seseorang itu tidak redho dengan ketetapan Allah, maka ianya sangat membahayakan diri nya kerana boleh menjerumuskan kepada kekufuran dan kemunafikan kecuali dia ditolong oleh ALLAH TAALA.
Dan Allah berfirman:
An-Nisa’ 4:65
فَلَا وَرَبِّكَ لَا يُؤْمِنُونَ حَتَّىٰ يُحَكِّمُوكَ فِيمَا شَجَرَ بَيْنَهُمْ ثُمَّ لَا يَجِدُوا۟ فِىٓ أَنفُسِهِمْ حَرَجًا مِّمَّا قَضَيْتَ وَيُسَلِّمُوا۟ تَسْلِيمًا
Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! Mereka tidak beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul di antara mereka, kemudian mereka pula tidak merasa dihati mereka sesuatu keberatan dari apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.
…
Allah Taala tidak mengakui keimanan mereka bahkan Allah Taala bersumpah mereka itu tidak beriman bagi orang yang marah terhadap keputusan RASULULLAH صلى الله عليه وسلم .
Orang yang beriman pasti menerima semua keputusan RASULULLAH صلى الله عليه وسلم.
Maka bagaimana pula keadaan seseorang yang tidak mahu menerima keputusan ALLAH TAALA ? Adakah ALLAH TAALA meredhai nya?
Dan kami telah meriwayatkan sesungguhnya ALLAH TAALA telah berfirman dalam hadith qudsi
” Sesiapa yang tidak redho dengan ketetapan Ku dan tidak sabar dengan ujian Ku, dan tidak bersyukur dengan ni’mat ni’mat Ku, maka dipersilakan mencari Tuhan lain selain Ku.”
Imam Ghazali rahimahullahu taala berkata :
Seakan akan Allah itu berfirman : Orang ini tidak redho kepada Ku sebagai Tuhan nya kerana dia marah dengan ketetapan Ku, maka carilah Tuhan lain selain Ku yang akan membuatkan dia redho dengan ketetapan tuhan lain.
Inilah puncak amaran dan ancaman daripada ALLAH TAALA bagi orang yang berakal.
Dan benarlah pendapat salafus soleh yang ketika ditanyakan kepada beliau:
” Apakah itu ubuddiyyah ( kehambaan) dan rubbubiyyah (ketuhanan)?
Maka beliau mengatakan bahawa ALLAH TAALA itu memutuskan sesuatu dan hamba wajib menerima keputusan ALLAH TAALA.
Apabila ALLAH TAALA telah memutuskan sesuatu dan hamba itu tidak redho ( tidak menerima) keputusan ALLAH TAALA, maka tiadalah rubbubiyyah dan ubbudiyyah.
Maka renungkanlah ini, lihat diri mu apakah sesuai atau tidak dengan penerangan daripada ku.