Rezeqi Yang DiJamin
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Apabila dikatakan rezeqi yang dijamin itu ada juga sebabnya, maka apakah wajib bagi kita untuk mencari asbab itu?
(asbab bekerja, solat dhuha, sedeqah dll)
Maka katakan kepada dia
” Kita tidak wajib mencari asbab itu kerana seorang hamba itu tidak berhajat kepada nya ( mencari sebab itu )
Kerana ALLAH TAALA berhak memberikan rezeqi dengan sebab atau tanpa sebab.
Maka dari mana kita perlu mewajibkan mencari sebab itu.
Kemudian cukuplah bagi mu, bahawasanya para Nabi alaihimussalam dan para wali yang bertawakkal, mereka itu kebanyakannya tidak mencari rezeqi dan mereka memenuhkan waktu mereka dengan ibadah.
Dan disepakati ijmak, mereka itu tidak meninggalkan perintah Allah Taala kerana tidak bekerja.
Dan disepakati juga, mereka juga tidak bermaksiat kepada ALLAH TAALA kerana tidak bekerja.
Maka dari sini, jelaslah bagimu bahawa mencari rezeqi dan sebab²nya itu bukan wajib.
Jika kamu bertanya:
” Apakah rezeqi itu akan bertambah ketika dicari?( kerana bekerja, solat dhuha dll)
Dan apakah rezeqi akan berkurang jika tidak dicari?
Aku katakan: ” Tidak . Tidak.
Sama sekali mencari rezeqi dan meninggalkan pencarian rezeqi itu adalah sama.
Kerana ianya telah tercatat di lauh mahfudz. Sudah ditentukan kadarnya dan ditentukan waktunya.
Dan tiada perubahan dalam hukum ALLAH dan tiada perubahan dalam pembahagian catatannya.
Firman Allah Taala:
Al-Hadid 57:23
لِّكَيْلَا تَأْسَوْا۟ عَلَىٰ مَا فَاتَكُمْ وَلَا تَفْرَحُوا۟ بِمَآ ءَاتَىٰكُمْۗ وَٱللَّهُ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ
(Kamu diberitahu tentang itu) supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu, dan tidak pula bergembira (secara sombong dan bangga) dengan apa yang diberikan kepada kamu. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
Dan seandainya dengan mencari rezeqi, rezeqi akan bertambah pastilah orang yang bersungguh sungguh dan orang yang rajin, rezeqinya lebih banyak.
Dan seandainya dengan tidak mencari rezeqi itu akan mengurangkan rezeqi, maka orang yang tidak boleh bekerja, malas, lambat , pasti sedikit rezeqinya.
Maka kesimpulannya kita tidak boleh memastikan bahawa wajib mencari rezeqi untuk mendapat rezeqi, walaupun kebiasaannya orang yang rajin akan mendapat rezeqi lebih daripada yang malas.
Nabi صلى الله عليه وسلم menjawab kepada orang yang bertanya tentang rezeqi
“Itulah. Jika kamu tidak mendatangi rezeqi, pasti rezeqi akan mendatangi mu”
Ianya ketetapan daripada ALLAH TAALA.