Sabar Dalam Pengaturan Rezeki
الحمد لله رب العالمين
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Imam Ghazali rahimahullahu taala berkata :
Dan adapun SABAR DALAM PENGATURAN REZEQI:
Maka sesungguhnya SABAR ITU ADALAH UBAT YANG PAHIT DAN MINUMAN YANG TIDAK DISUKAI. Namun minuman ( sabar) ini diberkahi dan penuh kemuliaan yang mengandungi banyak manfaat. Dan menjauhi segala kemudaratan.
Dan apabila ubat itu bersifat seperti itu , maka manusia yang berakal akan memaksakan dirinya untuk meminumnya dan menelannya.
Dan dia akan sanggup untuk menahan kepahitan dan keperitan nya.
Dan dia akan mengatakan ” PAHIT SEBENTAR TETAPI SIHAT SELEPASNYA”
Dan ketahuilah SABAR itu 4 jenis.
1. Sabar dalam melakukan ketaatan.
2. Sabar dalam meninggalkan maksiat.
3. Sabar dari melakukan hal hal yang berlebihan di dunia ( fudhul )
4. Sabar dalam menghadapi ujian ujian dan musibah kehidupan .
Jika seseorang itu menahan pahitnya kesabaran dalam 4 jenis itu, maka dia akan memperolehi kekuatan untuk taat.
Dan dia akan memperolehi keistiqamahan. Dan dia akan mendapat pahala yang besar di akhirat nanti.
Kemudian dia terhalang dari terjerumus ke dalam lembah kemaksiatan serta bencana bencana kemaksiatan di dunia dan akhirat. Dia akan terselamat dari kesengsaraan dunia dan azab neraka.
Kemudian dia juga tidak akan diuji dengan mencari dunia hingga sibuk dengan urusan dunia ketika dia hidup dan kesengsaraan ketika di akhirat. ( Ramai orang yang terlalu sibuk dengan urusan dunia hingga lalai dengan urusan akhirat dan ramai yang sanggup terlibat dalam perkara haram kerana ingin dunia).
Sering seseorang itu telah dicukupi keperluan nya namun dia tidak sabar dan berkeinginan untuk mendapatkan dunia yang lebih ( fudhul ) hingga dia terpaksa bekerja keras, menambah itu ini kerana tidak sabar untuk menikmati dunia nya).
Kemudian dalam ketidaksabaran itu juga akan menghilangkan atau dicabut dan digugurkan pahalanya oleh ALLAH TAALA. ( Contoh nya seseorang itu ingin dipercepatkan sesuatu hal sedangkan Allah Taala belum lagi mentaqdirkan hal itu, hingga menyebabkan Allah Taala tidak memberikan kebaikan ( pahala ) itu kepada nya kerana dia tidak sabar .
Maka dengan sebab kesabaran, seseorang itu akan boleh melakukan ketaatan, akan mendapatkan kemuliaan, akan mendapatkan ketaqwaan dan dia akan boleh zuhud dan dia akan mendapatkan gantian di sisi Allah.
Dan perincian perincian kelebihan asbab seseorang itu sabar, tiada sesiapa yang mengetahuinya kecuali ALLAH TAALA.
Az-Zumar 39:10
قُلْ يَٰعِبَادِ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمْۚ لِلَّذِينَ أَحْسَنُوا۟ فِى هَٰذِهِ ٱلدُّنْيَا حَسَنَةٌۗ وَأَرْضُ ٱللَّهِ وَٰسِعَةٌۗ إِنَّمَا يُوَفَّى ٱلصَّٰبِرُونَ أَجْرَهُم بِغَيْرِ حِسَابٍ
“Katakanlah (wahai Muhammad, akan firmanKu ini, kepada orang-orang yang berakal sempurna itu): “Wahai hamba-hambaKu yang beriman! Bertaqwalah kepada Tuhan kamu. (Ingatlah) orang-orang yang berbuat baik di dunia ini akan beroleh kebaikan (yang sebenar di akhirat). dan (ingatlah) bumi Allah ini luas (untuk berhijrah sekiranya kamu ditindas). Sesungguhnya orang-orang yang bersabarlah sahaja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira”.