Sabar Dalam Pengaturan Rezeki (Sambungan-3)
بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين
اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين
Kemudian Imam Ghazali rahimahullahu taala berkata :
” Kesimpulannya nya adalah :
1. memutuskan hati daripada ketergantungan kepada sesuatu
2. dan memutuskan nafsu daripada adat kebiasaan yang sudah berakar sekian lama dengan hanya bertawakkal kepada ALLAH Azzawajalla
3. dan meninggalkan keterlibatan dalam pengaturan rezeqi, urusan kehidupan dan menyerahkannya kepada ALLAH Azzawajalla tanpa kita mengetahui terhadap rahsia rahsianya.
4. Dan mengekang jiwa dan diri dari rasa marah dan keluh kesah padahal jiwa itu memuncak kemarahannya.
5. Dan memaksakan diri dan jiwa untuk sentiasa redho dan menelan minuman kesabaran.
Kesemua point ini amat lah pahit dan ubat yang kuat dan beban yang berat.
Akan tetapi itu adalah pengaturan yang tepat dan jalan yang lurus. Dan memberikan akibat yang baik dan membawa kepada kebahagiaan.
Imam Ghazali rahimahullahu taala mengkiaskan:
“Bagaimana pendapat mu terhadap orang tua yang sangat menyayangi anaknya dan dia juga kaya .
Ketika dia mencegah anak kesayangannya memakan epal atau kurma ketika anak itu sedang sakit mata.( pantang sakit mata itu makan epal dan kurma) atau orang tua itu menyerahkan anaknya kepada guru yang garang dan tegas dan guru itu menahan anaknya sepanjang siang di sisinya ( tiada rehat ) atau bapanya itu membawa anaknya ke tukang bekam untuk membekam nya dan tukang bekam itu menyakiti nya dan membuat hati bapa nya gelisah.
Apakah kamu lihat, orang tuanya itu tidak memberikan makan epal dan kurma kerana dia kedekut?
Tidak! Bagaimana mungkin bapa nya boleh memberikan kepada orang lain tetapi tidak memberikan kepada anak nya sendiri.
Atau kerana untuk menghinakan anaknya? Bagaimana dia dianggap untuk menghinakan anak nya, padahal semua hartanya dikumpulkan untuk anaknya.
Atau apakah bapanya ingin anak nya keletihan dan ingin menyakitinya kerana marah kepadanya kerana dihantar kepada guru yang garang itu. Bagaimana mungkin kerana anak nya itu penyejuk mata dan buah hati nya.
Seandainya ada angin yang bertiup dan mata nya dimasuki debu saja, orang tua akan susah hati dan mengambil berat.
Ini semua kerana orang tua itu tahu keburukan dan kebaikan sesuatu itu untuk anak nya.
Dan di dalam keletihan , kesakitan yang sedikit itu mengandungi kebaikan yang banyak.
Bagaimana juga pendapat mu terhadap doktor pakar yang menasihati pesakitnya dan mengasihi mereka, apabila dia melarang pesakitnya itu meminum air di pagi hari padahal pesakit itu kehausan sedangkan hati pesakit itu sudah kering malah memberikan minuman yang pahit yang tidak disukai sehingga pesakit itu mengeluh .
Apakah kamu berpendapat doktor pakar itu memusuhi pesakit nya?
Sekali kali tidak akan tetapi itu adalah nasihat dan kebaikan untuk pesakitnya kerana dia yakin bahawa jika dia memberikan apa yang diinginkan pesakitnya walaupun sebentar saja akan memudaratkan pesakitnya.
Namun larangan dan pantang kepada pesakitnya merupakan kesembuhan untuk pesakitnya dan menjadi asbab untuk dia bertahan hidup.
Maka hendaklah kamu merenung apabila ALLAH TAALA tidak memberi mu sepotong roti atau satu dirham dan padahal kamu tahu secara pasti bahawa Allah itu memiliki segala sesuatu yang kamu inginkan. Dan Allah berkuasa untuk memberikannya kepadamu dan Allah Taala itu Maha Pemurah dan Maha Memberi Kurnia dan Allah Taala mengetahui keadaan kamu , maka tidak ada sesuatu pun keadaan kamu yang tidak diketahui oleh ALLAH TAALA.
Maka ini bukan kerana ALLAH TAALA tidak memiliki atau kerana ALLAH TAALA itu lemah atau tidak mengetahui hajat keperluan mu tetapi kerana ALLAH TAALA sengaja tidak mahu memberi sesuatu yang kamu ingini.
Maka Maha Suci dan Maha Tinggi Allah Taala daripada semua sangkaan² mu. ( Jangan berprasangka buruk terhadap ALLAH TAALA) kerana ALLAH TAALA adalah terkaya, sekaya kaya nya daripada segala orang yang kaya.
Dan ALLAH TAALA adalah zat yang paling berkuasa daripada semua yang berkuasa.
Dan ALLAH TAALA itu maha mengetahui daripada sekalian yang berpengetahuan.
Maka kamu akan tahu hakikat sebenarnya bahawa Allah Taala tidak mencegahmu daripada mendapat sekeping roti atau satu dirham kecuali untuk kebaikan dan pilihan TAQDIR Allah Taala itu untukmu maka kita sebagai hamba wajib redho.
Padahal Allah Taala berfirman:
Al-Baqarah 2:29
هُوَ ٱلَّذِى خَلَقَ لَكُم مَّا فِى ٱلْأَرْضِ
Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi,
Maka semua yang ada di bumi untuk manusia. Apakah boleh dikatakan Allah itu KEDEKUT? Sedangkan Dia telah menciptakan semua untuk manusia.
Maka rasa kekesalan , tidak pasrah, kecewa dengan TAQDIR ALLAH TAALA itu mengotori hati kita. Sedangkan ALLAH TAALA itu memandang hati kita.
Maka wajib mensucikan hati sebagaimana kita membersihkan najis di badan kita .
Dalam Hadith Qudsi, Allah Taala berfirman:
Sesungguhnya Aku akan benar-benar mencegah kekasih Ku ( wali-waliKu) daripada keni’matan dunia sebagaimana pengembala yang sayang kepada untanya dan mencegah untanya duduk di atas kotoran atau duduk bergaul dengan unta² yang sakit agar tidak menular penyakit.
Begitu juga ALLAH TAALA mencegah kekasih nya daripada keni’matan dunia kerana ALLAH TAALA sayang kepada mereka.
Allah Taala tidak mahu hati kekasihnya terpaling kepada dunia.
Allah Taala adalah zat yang maha cemburu dan sangat cemburu ketika hati seseorang kekasihnya berpaling daripada ALLAH TAALA.
Dalam Hadith RASULULLAH صلى الله عليه وسلم
” Sungguh Allah Taala itu menyintai hamba Nya yang mukmin melebihi kecintaan seorang ibu kepada anak nya.”
Maka apabila ALLAH TAALA menguji kamu dengan kesulitan, hendaklah kamu menyakini bahawa sesungguhnya ALLAH TAALA itu zat maha kaya dan tidak perlu menyusahkan kamu. Hanya saja sebagai tanda kecintaan ALLAH TAALA kepada kamu.
Dan jika Allah Taala memperbanyak ujian dan musibah kepada kamu, maka hendaklah kamu mengetahui bahawa darjat kamu mulia dan tinggi di sisi ALLAH TAALA.
At-Tur 52:48
وَٱصْبِرْ لِحُكْمِ رَبِّكَ فَإِنَّكَ بِأَعْيُنِنَاۖ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ حِينَ تَقُومُ
Dan (dengan yang demikian) bersabarlah (wahai Muhammad) menerima hukum Tuhanmu (ketetapan Allah Taala ), kerana sesungguhnya engkau tetap terselamat dalam pemuliharaan serta pengawasan Kami; dan bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu semasa engkau bangun.